Pages

Translate

Tuesday, March 15, 2011

Pengajaran.. Jangan Ego ..

Diceritakan di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab,ada seorang raja yang kisahnya boleh dijadikan satu iktibar.Namanya Raja Jabalah Ibnul Ayham.Asalnya beragama Kristian,namun memeluk Islam di zaman pemerintahan Khalifah.Fikirnya,dengan memeluk agama Islam dia akan dianggap mulia dan sentiasa dibela.Niatnya masuk Islam hanyalah semata-mata kerana hendak duduk bersama dengan para golongan atasan atau bangsawan. 



Suatu hari,Raja Jabalah pergi ke Kota Mekkah.Dia turut menunaikan tawaf mengelilingi Kaabah bersama para jemaah yang lain.Ketika haji atau umrah,status seseorang baik raja atau rakyat adalah sama sahaja.Tidak ada bezanya disisi Allah swt. 
Megah dengan status raja,Jabalah begitu berhati-hati ketika menunaikan tawaf.Takut kena siku orang ramai,takut terkena himpit atau terlanggar.Memang ketakutannya menjadi kenyataan.Sebagai salah satu raja yang telah diasuh dengan kesombongan,Jabalah begitu tersinggung apabila hujung pakaiannya dipijak oleh seorang lelaki Arab.Dia mendengus marah.Sambil berkata, 
"Cih ! Apa ni,tak nampakkah ?". begitulah hatinya berkata-kata sambil matanya melotot memandang orang Arab dibelakangnya.Akibat terlalu marah,dia memukul lelaki Arab itu hingga berdarah hidungnya." Rasakan ! ".kata Jabalah sambil membetulkan kain yang menyelubungi tubuhnya itu.Lelaki Arab yang kena pukul itu tidak terkata apa.Masa itu semua orang sedang menunaikan tawaf.Lelaki Arab yang cedera hidungnya itu kenal,orang yang memukulnya itu adalah Raja Jabalah.Dia dulu Kristian dan kemudian memeluk Islam. 
Islamnya Raja Jabalah pun belum sempurna.Masih banyak lagi yang patut dia pelajari.Tetapi,sebagai seorang raja,dia rasa tidak perlu belajar dari orang awam.Dia fikir episod kejadian itu habis begitu sahaja.Orang Arab yang hidungnya cedera itu telah menemui Khalifah Umar Al-Khattab,mengadukan masalahnya.Untuk mempastikan dakwaan orang Arab itu benar,Raja Jabalah telah dipanggil menemui Khalifah Umar Al-Khattab." Adakah lelaki ini yang telah menyebabkan hidungmu berdarah ? ". tanya Khalifah Umar. " Ya,".jawab orang Arab itu. " Apa benarkah kata-kata orang ini ? ". tanya Khalifah Umar kepada Raja Jabalah pula. 
Raja Jabalah serba-salah.Dia tidak boleh elakkan diri lagi.Dia mengaku di depan Khalifah Umar dengan harapan,kecederaan itu dapat dimaafkan sahaja.Anggaplah kurnia raja kepada orang biasa.Raja Jabalah tetap ego,dia memandang rendah kepada orang Arab yang telah dipukulnya itu.Khalifah Umar pun berkata, " Aku jatuhkan hukuman kepada kamu,sama ada engkau meminta maaf kepada orang yang kamu pukul itu,atau aku hukum qisas dengan memukul hidungmu sampai pecah." 
" Mana boleh begitu ! ". kata Raja Jabalah. " Dia cuma orang biasa,sedangkan aku seorang raja.Mana sama ! ". " Sesungguhnya Islam telah menyamakan kamu berdua." tegas Khalifah Umar tanpa sedikit pun hendak menyebelahi Raja Jabalah.Dengan Perasaan marah,Raja Jabalah terus meninggalkan majlis tanpa menghormati Khalifah Umar Al-Khattab.Lelaki Arab yang mengadu terdiam. 
" Kalau dia meminta maaf padaku,sudah tentu aku maafkan.Betul-betul ego anak raja ini,". kata orang Arab tersebut.Tidak lama kemudian hebohlah cerita mengenai Raja Jabalah.Dia rasa tidak sesuai hendak bersama-sama rakyat.Status raja dengan rakyat tidak sama.Dia tidak setuju dengan kata-kata Khalifah Umar Al-Khattab yang sebenarnya berpandukan pada Al-Quran.Akhirnya,Raja Jabalah melarikan diri ke Constantinople,dia telah menyebelahi musuh umat Islam.Di depan raja mereka,Jabalah mengisytiharkan diri memeluk agama Kristian. 
Begitulah kisah betapa pengecutnya seorang raja ketika berdepan dengan undang-undang Islam sebenar.Kalau dia meminta maaf kepada lelaki Arab tersebut,tentu kes itu sudah selesai.Sebaliknya kerana dia bersikap ego, maka dia sanggup murtad menjadi raja kafir."

No comments:

Post a Comment