Pages

Translate

Monday, January 23, 2012

Tdk suka balik Kg "SIKAP FAMILY"

SAYA pelajar universiti dan anak kedua daripada empat beradik. Saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam pelajaran kerana boleh dikatakan pelajar bijak. Saya juga aktif dalam persatuan di universiti dan berasal dari sebuah kampung di utara tanah air.
Jujur saya katakan, saya tidak suka pulang ke kampung halaman memandangkan sikap keluarga yang seperti tidak mengendahkan saya. 
Saya seolah-olah tidak wujud dalam keluarga. Paling menyedihkan, apabila tiba hari lahir, jangankan hadiah, tiada sebarang ucapan pun daripada keluarga.

Bukannya keluarga kami hidup susah, namun untuk membeli baju baru, saya terpaksa bekerja memandangkan pinjaman pendidikan hanya cukup membiayai makan minum dan tugasan saja.

Bagaimanapun, adik-beradik lain diberikan wang setiap bulan hingga saya seperti disisihkan.

Apa yang patut saya lakukan kerana apabila bersendirian, saya sering menangis mengenangkan nasib diri. Tolonglah saya.

TERKILAN,
Johor



KEWUJUDAN individu memberi makna dalam kehidupan. Semakin besar kewujudan diri disedari oleh pihak lain, semakin besar makna dalam kehidupan individu berkenaan. Pengiktirafan kewujudan yang positif akan memberi kepada penghargaan diri yang baik.

Dengan kehadiran dan kewujudan adik tidak diakui keluarga, Dr tidak hairan mengapa adik berasa sedih. Dr empati dengan kesedihan adik itu. Perasaan sedih ini membawa kepada tingkah laku adik yang tidak suka pulang ke kampung.

Jika sikap adik yang tidak gemar balik menemui ahli keluarga di kampung berlarutan, ia akan memberi kesan kepada hubungan institusi kekeluargaan. Jarak emosi antara adik dengan keluarga akan semakin membesar.

Ada beberapa kemungkinan perkara ini berlaku. Dalam budaya Timur, ahli psikologi silang budaya menjelaskan, masyarakatnya tidak gemar menunjukkan kasih sayang secara terbuka.

Contohnya, kebanyakan ibu bapa dalam masyarakat Timur tidak menzahirkan kasih sayang dalam bentuk yang nyata seperti pemberian hadiah dan kata-kata ucapan.

Ini bukan menunjukkan ibu bapa tidak menyayangi anak-anak mereka. Cuma, kasih sayang tidak ditunjukkan dengan cara seperti memberi hadiah dan melahirkan kata-kata ucapan ketika hari istimewa contohnya hari lahir, lulus peperiksaan dan menerima ijazah.

Masyarakat Barat berbeza kerana mereka berasakan sesuatu yang nampak akan lebih memberi kesan. Jika sayang pada seseorang, nyatakan. Pemberian hadiah untuk tujuan menyambut hari lahir adalah sesuatu yang biasa dilakukan.

Kemungkinan ibu bapa adik tidak mengetahui perasaan adik. Ini boleh berlaku kerana adik tidak memberitahu mereka akan apa yang adik alami. Lantas, mereka mengandaikan adik sudah mendapat segala keperluan kewangan dan kasih sayang.

Tambahan pula, sebagai seorang pelajar universiti, ada kemungkinan, ahli keluarga berasakan adik dapat menangani segala permasalahan yang ada dan tidak memerlukan bantuan. Ini termasuk bantuan kewangan. Jika ini berlaku, komunikasi jelas perlu wujud antara adik dengan keluarga.

Sememangnya ibu bapa perlu bersikap adil kepada setiap anak. Begitu juga ahli keluarga tidak boleh berat sebelah kasih sayangnya.

Untuk bersikap adil, ia tidak bermakna memberikan sesuatu kepada setiap anak dalam kuantiti yang sama.

Ia lebih kepada memberi setiap anak apa yang wajar diperolehnya.

Setiap anak adalah individu yang unik, mempunyai kualiti serta keperluan dan bakat tersendiri.

Satu cara adik menangani masalah dihadapi dengan menjelaskan apa yang adik alami kepada keluarga. Nyatakan adik ingin dihargai dan disayangi.

Jelaskan kepada keluarga bahawa ucapan selamat hari lahir dapat memberi rasa diri diterima dalam keluarga.

Cara lain ialah dengan adik sendiri mengucapkan selamat hari kelahiran atau memberi hadiah ketika hari kelahiran ahli keluarga adik.

Dengan adik menunjukkan contoh dan tingkah laku ini, ahli keluarga yang lain boleh mengikut contoh ini.

Lazimnya, apabila kita menyayangi orang lain, balasan kasih sayang akan menyusul.

Seterusnya, adik boleh bersifat memahami budaya keluarga.

Dengan adik lebih memahami tingkah laku mereka, adik juga lebih dapat menerima seadanya sikap mereka terhadap adik.

Sikap kecil hati dan sedih akan berkurangan apabila adik dapat memahami budaya serta amalan ahli keluarga.

Kasih sayang boleh wujud dalam bentuk yang lain. Ini seperti mendoakan kejayaan adik dan berasa gembira atas perkara positif yang berlaku. Dr doakan hubungan emosi adik dengan keluarga akan lebih terjalin rapat.

No comments:

Post a Comment