Pages

Translate

Tuesday, October 22, 2013

air radiator pandai kurang...????

Untuk jawapan kepada air tangki cepat kurang: 

Ada beberapa sebab yg boleh menyebabkanya. 

1. Berkemungkinan THERMOSTAT sudah rosak. Perlu di ganti,harga xmahal dalam Rm50-60 

2. Saluran2 air dlm tangki tersumbat. Tangki boleh di servis dan kosnya dalam Rm70-80 bergantung kepada saiz tangki air tersebut. 

3: Kemungkinan Pam air tidak berfungsi dgn baik atau ada kebocoran pada waterseal dalam pam tersebut. Perlu di ganti dan kos dalam Rm80-200 bergantung pada model kereta. 

4: Kemungkinan HEAD GASKET sudah rosak dan perlu di ganti dan proses TOP OVERHAUL perlu dilakukan. Kosnya termasuk upah. Rm 300-550 mengikut jenis kenderaan. Cuba buat ujian sendiri. Dalam keadaan injin sejuk masa pagi,penuhkan tangki air dan jgn tutup penutup tangki,hidupkan injin dan lihat dalam tangki semasa injin running dlm suhu normal,jika terdapat bebola air di dlm tangki yg di lihat dari tempat menuang air yg tidak di tutup itu. bermakna HEAD GASKET sudah rosak dan perlu di TOP OVERHAUL. 

Sekian serba ringkas dari saya
READ MORE - air radiator pandai kurang...????

Wednesday, August 8, 2012

Masjid As-Said Kg Melagui Kelatuan

Moreh bersama jemaah di masjid baru Masjid As-Said Kg Melagui Kelatuan, Kimanis hari pertama masjid digunakan malam ini. Alhamdulillah.

READ MORE - Masjid As-Said Kg Melagui Kelatuan

Monday, January 23, 2012

Teman lelaki gila seks

SAYA berumur awal 20-an dan mempunyai teman lelaki. Masalahnya saya amat tertekan dengan sikap teman lelaki yang gemar mengajak melakukan hubungan seks. Kami pernah terlanjur dan kini saya insaf kesilapan dan berazam tidak mahu mengulangi lagi.
Namun, teman lelaki semakin galak mengajak melakukan hubungan seks hingga saya berasa rimas. Malah, saya sering berdoa semoga Allah memberikan petunjuk kepada teman lelaki untuk berubah namun sia-sia. 
Saya buntu dengan sikap teman lelaki yang sering melemparkan janji kosongnya untuk berubah dan saya selalu terfikir untuk meninggalkannya.

Bagaimanapun, saya takut kerana tiada siapa mahukan diri saya kerana kesilapan pernah dilakukan dulu.

Saya sangat tertekan. Apakah memang patut saya meninggalkan teman lelaki?

GADIS MANIS,
Melaka.




CINTA tulus ikhlas tidak menuntut kepada pengorbanan bersifat seksual tanpa ikatan sah suami isteri. Mencintai bukan untuk dikhianati tapi adalah untuk saling memiliki. Cinta sejati adalah kejujuran.

Jika teman lelaki amat menyayangi adik, mengapa pula dia sering mengkhianati dan tidak menghormati adik sebagai seorang wanita.

Sikap teman lelaki yang gemar mengajak adik melakukan hubungan seks tidak membuktikan dia seorang lelaki tulen dalam perhubungan cinta.

Janji-janji kosongnya untuk berubah dan mengahwini adik menambahkan lagi sikap kepalsuan terhadap ketulusan cinta.

Teman lelaki adik lebih berpaksikan nafsu dari cinta sejati. Dalam percintaan, adik perlu tahu untuk membezakan antara nafsu dengan cinta kerana tanpa�disedari adik tertipu oleh hal itu.

Dr memahami ketakutan yang adik alami. Perasaan takut tiada lelaki yang akan sudi berkahwin dengan adik jika meninggalkan teman lelaki adalah senjata paling kuat yang digunakan teman lelaki untuk terus mengajak adik melakukan hubungan seks.

Ia adalah seperti satu permainan bukan lagi satu percintaan.

Selagi mana permainan ini tidak dihentikan, selagi itulah adik menjadi mangsa. Kerugian dan kehilangan maruah diri akan terus menyelinap dalam tubuh sanubari adik.

Berterus terang kepada teman lelaki mengenai perasaan dan keinginan adik.

Jelaskan adik inginkan satu perhubungan yang jujur dan cinta kalian berdua diikat dengan sah. Adik ingin mengakhiri perbuatan berdosa. Jika permintaan ikhlas adik ini masih lagi dipandang sepi, jelas sekali teman lelaki tidak sehaluan arah cintanya dengan adik.

Sama ada patut meninggalkan teman lelaki ataupun meneruskan hubungan bergantung kepada kesediaan adik menerima segala akibat yang wujud dari apa saja keputusan yang diambil.

Mengenai sama ada adik akan menemui lelaki yang sanggup menerima adik jika sudah meninggalkan teman lelaki, ia adalah soal jodoh. Manusia juga tidak boleh memastikan apa pun untuk masa depannya kerana hari esok adalah misteri.

Jika adik ingin menemui lelaki yang sudi mengambil adik sebagai suri hidupnya, adik perlu mempunyai prinsip seks bukan penentu dalam pemilihan jodoh.

Tidak mengulangi kesilapan dan dosa yang dilakukan bersama teman lelaki adalah permulaan kepada kehadiran jodoh adik. Jadikan segala kesilapan lalu sebagai pengajaran. Setiap perkara ada gantinya.

Setiap kejadian ada hikmah di sebalik kejadiannya Dr doakan adik dapat membuat satu keputusan yang menjadikan adik sebagai wanita yang bermaruah dan beriman.
Bukan sebagai alat pemuas seks. Apabila maruah diri dapat dimiliki, adik akan lebih yakin bahawa soal jodoh adalah ketentuan Tuhan.
READ MORE - Teman lelaki gila seks

Anak tak sanggup lihat ibu bergelumang dosa

IBU saya seorang janda yang kini sedang asyik bercinta. Namun, memandangkan saya adalah bekas pelajar sekolah agama, saya juga tahu mengenai hukum dosa dan pahala.
Timbul juga perasaan bersalah memandangkan saya tidak mampu berbuat apa-apa. Ibu terlalu asyik menelefon lelaki itu yang juga suami orang malah asyik keluar berdua. 
Apa yang perlu saya lakukan untuk memberitahu ibu saya tidak suka perbuatannya itu.

Pada masa sama, saya juga tidak mahu ibu menganggap saya sebagai anak derhaka.

ANAK SERBA SALAH,
Melaka



KEHIDUPAN bersendirian sebagai seorang janda, membuatkan ibu adik berpotensi lebih tinggi untuk berasa sunyi. Kesunyian mendorong ibu untuk menjalin hubungan dengan suami orang.

Perasaan sunyi, bagaimanapun, bukanlah satu alasan untuk ibu mempunyai hubungan sulit. Apatah lagi dengan suami orang.

Dr sangat memahami kerisauan adik. Sebagai seorang anak, adik tidak mahu ibu terbabit dengan perkara yang tidak baik. Mempunyai hubungan tanpa ikatan perkahwinan yang tidak sah, tentu mengundang pelbagai reaksi negatif dari ramai pihak.

Sebagai seorang anak yang tahu perkara mana benar mana salah, tentu sekali adik tidak mahu ibu menjadi tohmahan negatif dan umpatan orang. Adik juga tidak mahu ibu bergelumang dengan dosa kerana �sayangkan ibu. Dr sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih atas sifat positif adik ini.

Adalah amat sukar bagi seorang anak untuk menegur tingkah laku ibu. Kesukaran adik menegur ibu dapat Dr rasai. Dalam menangani isu ini, adik boleh menggunakan khidmat pihak ketiga untuk menasihati ibu. Contohnya, menggunakan pihak yang sangat dihormati ibu.

Adik juga boleh berbincang secara berhikmah dengan ibu. Jika adik tidak berani berjumpa secara bersemuka dengan ibu, adik boleh menggunakan kaedah lain. Menulis surat adalah satu kaedah yang boleh digunakan.

Ini boleh menghilangkan perasaan bersalah kerana adik sudah berusaha untuk menegur ibu. Sama ada ibu akan berubah selepas mendengar keluhan perasaan adik, terpulang kepada diri ibu.

Di pihak adik, tanggungjawab sebagai seorang anak dan Muslim sudah dilaksanakan. Sebagai ibu, kasih sayang terhadap anak boleh �mengubah tingkah laku negatif kepada positif, dari melakukan dosa kepada berhenti melakukannya.

Memohon doa agar ibu mendapat petunjuk untuk tidak meneruskan perbuatan yang adik tidak suka itu juga satu usaha yang boleh adik lakukan. Dr ucapkan semoga adik berjaya dalam usaha adik.
READ MORE - Anak tak sanggup lihat ibu bergelumang dosa

Siswa kerap dilanda murung

SAYA remaja perempuan berusia 20 tahun dan menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPT) di Pulau Pinang. Sepatutnya saya bersyukur terpilih memasuki universiti ini kerana proses pemilihan pelajar sangatlah susah.
Walaupun keputusan matrikulasi saya tidak begitu bagus, tapi saya layak. Bagaimanapun, selepas menjadi pelajar di universiti ini, saya kerap mengalami kemurungan dan tekanan selain sering mengalami sakit perut yang berlarutan selama dua minggu. 
Apabila ke klinik, doktor pun tidak tahu mengapa saya begitu. Perkara ini berlaku sejak saya menuntut di matrikulasi lagi. Sudah tiga semester di universiti, masalah yang sama tetap berlaku iaitu sakit perut yang tidak diketahui puncanya.

Saya mengesyaki sakit perut ini adalah tanda-tanda tekanan. Kadangkala, sakit perut ini berserta dengan ulcer di bibir. Bila masalah ini terjadi, saya berasa teramat tertekan apatah lagi dengan tugasan, projek dan pembentangan yang berlambak-lambak.�

Saya juga tidak dikategorikan sebagai pelajar yang aktif tetapi ada memegang jawatan sebagai wakil kelas bagi kursus saya. Kadangkala, saya rasa tanggungjawab itu sangat berat, tapi saya nekad meneruskan kerana jawatan itu akan memberikan saya pengalaman sebagai seorang ketua dan mengajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik.

Saya juga seorang yang pendiam, jadi masalah yang dialami saya simpan sendiri. Kawan-kawan pernah berkata, saya sering mengambil serius setiap perkara dan seorang yang kurang sikap kelakar. Contohnya, saya sering risau kawan-kawan yang lain sekiranya mereka tidak tahu mengenai sesuatu maklumat terkini, seperti kelas dibatalkan.

Walaupun perkara ini nampak remeh, tapi saya mengambilnya sebagai sesuatu yang besar. Jadi tidak mustahil saya memang cepat tertekan.�

Kadangkala, saya tertekan apabila ada rakan sekuliah mengalami krisis. Saya tahu tidak perlu ambil tahu tapi sukar mengatasinya malah akan bertambah tertekan sekiranya rakan lain mendapat markah lebih tinggi. Saya juga sangat risau mengenai keputusan yang akan diperoleh setiap kali peperiksaan menjelma.

Mungkin saya sudah terbiasa dengan keadaan di sekolah yang mengajar supaya lebih banyak A adalah bagus. Sewaktu di sekolah memang mudah, tapi alam matrikulasi dengan universiti berlainan.

Sampai ketikanya saya bertanya pada diri sendiri adakah saya mampu membawa subjek ini kerana saya akan menjadi seorang teknologis apabila saya tamat pengajian kelak.�

Saya juga ada membaca artikel mengenai cara-cara bagaimana mengurangkan tekanan tapi tidak berhasil. Saya sendiri tidak tahu untuk mengatasi masalah ini.� Adakah Dr sendiri mempunyai cadangan lain bagi membantu saya.

GADIS TENSION,
Pulau Pinang



TENTU sekali Dr gembira atas kejayaan adik menjadi warga universiti tersohor, justeru peluang menjadi siswa universiti yang menjadi idaman ini tidak wajar dipersiakan. Apabila terpilih, tentunya adik mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh dimanfaatkan setinggi mungkin.

Melihat masalah adik, beberapa isu perlu dilihat, antaranya, isu kesihatan dan peranan serta tanggungjawab sebagai pelajar. Isu seterusnya ialah gaya atau corak kepemimpinan dan keupayaan mengikuti subjek yang adik ikuti.

Masalah segera yang perlu diselesaikan ialah masalah kesihatan. Memandangkan sakit perut sudah lama berlaku, adik perlu mendapat rawatan yang cepat dan berkesan.

Jika sakit perut adik �sememangnya disahkan oleh pihak doktor perubatan �sebagai kesan tekanan, adik perlu mengenal pasti puncanya dan langkah seterusnya ialah merawat tekanan yang dialami.

Memegang tanggungjawab adalah penting dalam pembangunan sahsiah pelajar. Dr ucapkan tahniah kepada adik kerana sanggup memikul tanggungjawab yang dapat mengembangkan potensi sebagai pelajar dan insan holistik. Maksudnya, bukan saja bagus akademiknya tapi cemerlang sifat kepemimpinan, sahsiah diri dan kematangan berfikir.

Menjadi seorang pemimpin memerlukan adik lebih bersifat terbuka, bersedia menerima pandangan serta menilai kelemahan diri.

Kesediaan ini tidak bermakna adik seorang pemimpin yang lemah tapi sebaliknya. Sifat menyimpan sendiri masalah akan mewujudkan masalah kepemimpinan.

Begitu juga, dengan terlalu memikirkan atau risau mengenai sesuatu perkara tidak akan membantu adik menjadi seorang ketua kelas yang baik. Apa yang boleh adik lakukan ialah menukar corak atau gaya kepemimpinan. Dr amat yakin adik mempunyai potensi dan keupayaan ke arah itu. Jika proses menukar gaya kepemimpinan sukar dilakukan, lakukannya secara berperingkat.

Mengenai isu risaukan peperiksaan, ia adalah satu petanda yang baik. Ahli psikologi mengatakan berasa risau atau bimbang mengenai sesuatu perkara termasuk peperiksaan adalah satu petanda positif.

Ia akan mendorong individu berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang lebih baik. Bagaimanapun, terlalu berasa risau memang akan menyebabkan individu rasa tertekan.

Apa yang boleh adik lakukan ialah adik boleh berasa risau tapi pada waktu yang sama, mengambil langkah-langkah persediaan menghadapi peperiksaan. Banyak panduan berkesan adik boleh peroleh dalam buku atau laman web sebagai persediaan menghadapi peperiksaan juga bagaimana menjadi pemimpin yang baik.

Sekiranya, masalah kesihatan dan gaya kepemimpinan adik dapat diatasi, Dr lihat tiada masalah bagi adik untuk membawa subjek yang diikuti sekarang. Dr doakan satu hari nanti adik akan menjadi seorang teknologis yang cemerlang. Selamat berjaya.

READ MORE - Siswa kerap dilanda murung

Tdk suka balik Kg "SIKAP FAMILY"

SAYA pelajar universiti dan anak kedua daripada empat beradik. Saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam pelajaran kerana boleh dikatakan pelajar bijak. Saya juga aktif dalam persatuan di universiti dan berasal dari sebuah kampung di utara tanah air.
Jujur saya katakan, saya tidak suka pulang ke kampung halaman memandangkan sikap keluarga yang seperti tidak mengendahkan saya. 
Saya seolah-olah tidak wujud dalam keluarga. Paling menyedihkan, apabila tiba hari lahir, jangankan hadiah, tiada sebarang ucapan pun daripada keluarga.

Bukannya keluarga kami hidup susah, namun untuk membeli baju baru, saya terpaksa bekerja memandangkan pinjaman pendidikan hanya cukup membiayai makan minum dan tugasan saja.

Bagaimanapun, adik-beradik lain diberikan wang setiap bulan hingga saya seperti disisihkan.

Apa yang patut saya lakukan kerana apabila bersendirian, saya sering menangis mengenangkan nasib diri. Tolonglah saya.

TERKILAN,
Johor



KEWUJUDAN individu memberi makna dalam kehidupan. Semakin besar kewujudan diri disedari oleh pihak lain, semakin besar makna dalam kehidupan individu berkenaan. Pengiktirafan kewujudan yang positif akan memberi kepada penghargaan diri yang baik.

Dengan kehadiran dan kewujudan adik tidak diakui keluarga, Dr tidak hairan mengapa adik berasa sedih. Dr empati dengan kesedihan adik itu. Perasaan sedih ini membawa kepada tingkah laku adik yang tidak suka pulang ke kampung.

Jika sikap adik yang tidak gemar balik menemui ahli keluarga di kampung berlarutan, ia akan memberi kesan kepada hubungan institusi kekeluargaan. Jarak emosi antara adik dengan keluarga akan semakin membesar.

Ada beberapa kemungkinan perkara ini berlaku. Dalam budaya Timur, ahli psikologi silang budaya menjelaskan, masyarakatnya tidak gemar menunjukkan kasih sayang secara terbuka.

Contohnya, kebanyakan ibu bapa dalam masyarakat Timur tidak menzahirkan kasih sayang dalam bentuk yang nyata seperti pemberian hadiah dan kata-kata ucapan.

Ini bukan menunjukkan ibu bapa tidak menyayangi anak-anak mereka. Cuma, kasih sayang tidak ditunjukkan dengan cara seperti memberi hadiah dan melahirkan kata-kata ucapan ketika hari istimewa contohnya hari lahir, lulus peperiksaan dan menerima ijazah.

Masyarakat Barat berbeza kerana mereka berasakan sesuatu yang nampak akan lebih memberi kesan. Jika sayang pada seseorang, nyatakan. Pemberian hadiah untuk tujuan menyambut hari lahir adalah sesuatu yang biasa dilakukan.

Kemungkinan ibu bapa adik tidak mengetahui perasaan adik. Ini boleh berlaku kerana adik tidak memberitahu mereka akan apa yang adik alami. Lantas, mereka mengandaikan adik sudah mendapat segala keperluan kewangan dan kasih sayang.

Tambahan pula, sebagai seorang pelajar universiti, ada kemungkinan, ahli keluarga berasakan adik dapat menangani segala permasalahan yang ada dan tidak memerlukan bantuan. Ini termasuk bantuan kewangan. Jika ini berlaku, komunikasi jelas perlu wujud antara adik dengan keluarga.

Sememangnya ibu bapa perlu bersikap adil kepada setiap anak. Begitu juga ahli keluarga tidak boleh berat sebelah kasih sayangnya.

Untuk bersikap adil, ia tidak bermakna memberikan sesuatu kepada setiap anak dalam kuantiti yang sama.

Ia lebih kepada memberi setiap anak apa yang wajar diperolehnya.

Setiap anak adalah individu yang unik, mempunyai kualiti serta keperluan dan bakat tersendiri.

Satu cara adik menangani masalah dihadapi dengan menjelaskan apa yang adik alami kepada keluarga. Nyatakan adik ingin dihargai dan disayangi.

Jelaskan kepada keluarga bahawa ucapan selamat hari lahir dapat memberi rasa diri diterima dalam keluarga.

Cara lain ialah dengan adik sendiri mengucapkan selamat hari kelahiran atau memberi hadiah ketika hari kelahiran ahli keluarga adik.

Dengan adik menunjukkan contoh dan tingkah laku ini, ahli keluarga yang lain boleh mengikut contoh ini.

Lazimnya, apabila kita menyayangi orang lain, balasan kasih sayang akan menyusul.

Seterusnya, adik boleh bersifat memahami budaya keluarga.

Dengan adik lebih memahami tingkah laku mereka, adik juga lebih dapat menerima seadanya sikap mereka terhadap adik.

Sikap kecil hati dan sedih akan berkurangan apabila adik dapat memahami budaya serta amalan ahli keluarga.

Kasih sayang boleh wujud dalam bentuk yang lain. Ini seperti mendoakan kejayaan adik dan berasa gembira atas perkara positif yang berlaku. Dr doakan hubungan emosi adik dengan keluarga akan lebih terjalin rapat.
READ MORE - Tdk suka balik Kg "SIKAP FAMILY"

Teman lelaki tidak jujur

SAYA pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berusia 22 tahun manakala teman lelaki 26 tahun. Kami sudah berkenalan hampir empat tahun dan sepanjang tempoh itu, kami saling mengenali keluarga masing-masing.
Kami merancang mengakhiri zaman bujang selepas saya tamat ijazah sarjana muda kelak. 
Baru-baru ini, saya dapati dia ada berhubung dengan perempuan lain. Katanya, mereka hanya kawan.

Daripada perbualan, memang nampak seperti kawan, cuma ada sekali dua mereka mesra.

Masalahnya sekarang, saya rasa sedih bukan kerana dia berkawan dengan perempuan itu tapi tidak berlaku jujur pada saya.

Saya menganggap saya kuat cemburu, jadi katanya, dia tidak menceritakan mengenai persahabatan mereka kerana bimbang saya cemburu dan cuma ingin menjaga hati saya.

Kami sudah berbincang. Dia menyesali perbuatannya dan menyatakan malu atas perbuatannya sendiri sedangkan saya tetap setia dengannya.

Kini, dia meminta masa untuk mengubati hati saya dan mendapatkan kepercayaan saya kembali.

Dia juga minta masa pada saya untuk membuktikan yang dia pasti akan capai impian untuk menikahi saya.

Bolehkah saya percaya? Apa yang patut saya lakukan sekarang? Apa sebenarnya yang diinginkan lelaki?

Ini kerana, setiap kali saya bertanya padanya, dia akan kata yang dia sudah gembira dan puas hati dengan diri saya dan menerima baik buruk pada saya seperti saya terima baik buruk dirinya.

RAGU-RAGU,
Kuala Lumpur



BENARLAH kata orang bahawa cinta boleh tumbuh dalam madu dan racun. Ini kerana sehingga sekarang, adik masih tidak tahu apa sebenarnya yang adik inginkan daripada teman lelaki. Begitu juga sebaliknya.

Sudah berkali-kali teman lelaki memberi jawapan bahawa dia tidak mempunyai hubungan istimewa dengan perempuan lain.

Dia juga menyesali perbuatannya dan menyatakan yang dia malu atas perbuatannya sendiri sedangkan adik tetap setia padanya.

Teman lelaki juga menerima baik buruk serta gembira dengan adik.

Sebaik dan seikhlas manapun jawapan teman lelaki, adik masih lagi tidak percaya dan masih cemburu apabila dia mempunyai teman wanita biasa.

Berasa ragu dan cemburu tanpa keikhlasan bercinta boleh menggugat jalinan cinta.

Adik sendiri perlu pasti apa yang adik inginkan dalam cinta kalian berdua kerana jika masih menjadi isu, perasaan tidak kondusif ini akan berterusan apabila sudah mengikat tali perkahwinan.

Kepercayaan adalah perkara asas dalam membina sebarang hubungan. Apatah lagi hubungan cinta.

Kata cinta bahawa “permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temui di dalam dirinya” boleh adik aplikasi dalam cinta adik berdua.

Dr harap adik dapat memberi ruang kepada diri untuk menilai semula sikap dan perasaan adik kepada teman lelaki.

Jika adik benar-benar pasti dialah lelaki terbaik untuk adik, pupuk dan binalah cinta itu ke arah sinar lurus yang akan membawa pengekalan abadi.

Cinta itu apabila kamu bertemu dan membuat pilihan yang tepat.

Sekiranya, adik masih lagi ragu-ragu, mungkin dia bukan yang terbaik untuk adik.

Hubungan ini tidak akan bahagia berkekalan.
READ MORE - Teman lelaki tidak jujur