Kepimpinan Cemerlang Pada suatu hari Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w. bertanya kepada baginda ``Selain peperangan Uhud, pernahkah Rasulullah menghadapi sebarang peristiwa yang bahaya dalam hidup''? Baginda menjawab ``Ya, saya pernah menghadapinya.''
Apakah peristiwa bahaya yang Rasulullah maksudkan itu? Baginda telah kematian ayahnya sebelum dilahirkan, kematian ibunya sewaktu baginda masih kecil lagi.
Baginda juga telah disisihkan dalam dunia tanpa wang atau sebarang keperluan asasi.
Walau bagaimanapun baginda tidak menyebut hal-hal demikian sebagai peristiwa yang paling bahaya sekali dalam hidupnya.
Pada peringkat awal Rasulullah s.a.w. berdakwah, pemimpin-pemimpin Quraisy tidak suka dengan kehadirannya.
Ada di antara mereka yang menyuruh Abu Talib supaya jangan melindungi Rasulullah, tetapi Abu Talib enggan berbuat demikian.
Hal ini menyebabkan kemarahan pemimpin-pemimpin Quraisy tersebut kepada Rasulullah.
Perkara ini juga tidak dikatakan sebagai hal-hal yang membahayakan hidupnya.
Pada tahun berikutnya, percubaan untuk membunuh Rasulullah dilakukan seperti tidak memberikannya makanan, menggolekkan batu-batu yang besar ke arah baginda dari atas bukit, membakar khemahnya sewaktu baginda sedang tidur, meracun makanannya dan banyak lagi.
Namun Rasulullah terselamat daripada semua percubaan ini. Sekali lagi baginda tidak menyatakan peristiwa-peristiwa tersebut sebagai keadaan yang merbahaya dalam hidupnya.
Sebaliknya, baginda menjawab pertanyaan Aisyah ``Pada permulaan saya berdakwah, saya telah pergi ke Taif dan meminta kebenaran Raja Taif untuk berdakwah di sana.
``Raja telah memperkenankan permintaanku, akan tetapi Raja mengupah beberapa penjahat untuk memukulku. Ada yang membaling batu sehingga seluruh badanku berdarah dan menyebabkan aku pengsan kerana tidak tahan dengan serangan tersebut.
``Salah seorang sahabatku membawakan sebatang pohon supaya aku boleh berehat. Sementara itu ia pergi mencari air untuk memberikanku minum. Tetapi sayangnya tiada seorang pun yang memberikan air walau sedikit kepada sahabatku itu.
``Dia berasa hampa. Selepas aku sedar daripada pengsan, aku menadahkan kedua-dua belah tanganku dan berdoa:
``Ya, Allah yang Maha Berkuasa, Engkau telah menyuruhku menyampaikan risalah-Mu supaya aku dapat menyampaikannya kepada umat manusia, tetapi mereka tidak mahu mendengarnya.
``Mungkin kerana kelemahanku sendiri. Ya, Allah yang Maha Pengasih, berikanlah semangat dalam hatiku dan kekuatan kepada suaraku.''
``Tiba-tiba aku ternampak Malaikat Jibril di langit sedang menungguku, sambil memberi arahan untuk memusnahkan Taif. ``Aku berteriak kerana terkejut ``Tidak, tidak. Jangan lakukannya. Allah telah menghantarku sebagai rahmat kepada umat manusia.
``Aku tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka. Biarkanlah mereka hidup. Jika mereka tidak mahu menerima risalahku ini, mungkin keturunannya nanti akan menerimanya.''
``Peristiwa kemusnahan yang nyaris-nyaris berlaku ke atas Taif adalah peristiwa yang paling bahaya sekali dalam hidupku.''
Huraian kepimpinan: 1. Pemimpin Islam tidak akan terus menyalahkan orang lain dalam banyak perkara tetapi mengambil pendekatan muhasabah diri terlebih dahulu.
Ia akan menganalisis kebaikan dan kelemahan tindak tanduknya dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dalam dirinya.
Setelah proses kritikan diri ini dilaku kan barulah ia melihat kepada faktor luaran yang memungkinkan terjadinya kegagalan dalam sesuatu tindakan.
2. Pemimpin Islam yang sejati tidak akan menyimpan dendam kesumat dalam hatinya dan sentiasa menganalisis keadaan dengan hati terbuka dan fikiran rasional.
Dengan bertindak secara demikian amat mudah bagi mereka yang disifatkan musuh dipengaruhi untuk menjadi pejuang-pejuang sejati.
No comments:
Post a Comment